Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
2014 Events * Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu, 11-16 Mei* Kapas - Marang International Swimathon 19-20 April * Festival Kenyir 29 April-29 Mei * Redang-Perhentian Fiesta 30 Mei-22 Jun * Kenyir Bird & Nature Quest 20 - 21 Jun * Pertandingan Pelita Raya 21 Julai * Terengganu International Islamic Arts Festival 15-17 Sept * Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 27 Sept * Sultan Mizan Cup Oct *Karnival Pertandingan Memancing Antarabangsa GP Joran BH 10-11 Okt * Terengganu International Powerboat Championship 6-8 Nov * Boat On The Road Grand Slam Cartopper Challenge Tasik Kenyir 14-16 Nov * Festival Batik Songket & Kraf Terenganu 19-23 Nov * Terengganu International Rainforest Challenge 28 Nov-8 Dis * Monsoon Cup Terengganu Dis * http://tourism.terengganu.gov.my/

Tuesday, June 29, 2010

Keunikan 15 - Tasik Kenyir

Kenali Terengganu



Tasik Kenyir merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Terengganu.  Tasik ini adalah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara.  Pembinaannya adalah untuk menyediakan sebuah empangan  bagi Stesen Kuasa Sultan Mahmud atau Stesen Janakuasa Hidro Kenyir.

Tasik ini meliputi kawasan seluas 260 km persegi dan mempunyai  340 buah pulau-pulau kecil yang dulunya adalah bukit dan dataran tinggi, lebih dari 14 buah air terjun serta flora dan fauna yang menakjubkan.  Ia juga adalah salah satu daripada pintu masuk ke Taman negara.  Bagi penggemar alam semulajadi, inilah tempatnya untuk menikmati dan menghayati segala khazanah yang ada di dalamnya. 

Gua Bewah yang terkenal dengan penemuan rangka manusia Zaman Mesolitik juga terdapat di sini.  Masih banyak rahsia dan misteri tentang gua ini yang belum diterokai.  Siapa tahu, anda mungkin orangnya?

Bagi pemancing, Tasik Kenyir merupakan tempat dimana mereka boleh mencuba hingga berjaya kerana terdapat pelbagai spesis ikan air tawar seperti baung, toman, kelisa, kelah, lampam yang semuanya lebih kurang 300 jenis. 
Berikut adalah di antara tarikan  yang ada  di Tasik Kenyir ini iaitu:
  • Gua Bewah, Gua Taat
  • Puncak gunung untuk ditawan seperti Gunung Chegau dan Gagau
  • Sungai, Jeram dan Air terjun seperti air Terjun Lasir, Saok, Tembat, Pertang, Petuang, Lata Terap, sungai Lawit dan sungai Buweh
  • Pelbagai jenis flora dan fauna
  • Pulau-pulau seperti Pulau Sah Kecil, Pulau Bayas, Pulau Sumas, Pulau Jelatang, Pulau Batu Pipit yang juga dikenali sebagai Pulau Mahathir,
  • Herba istimewa seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, 
  • Kedamaian dan ketenangan untuk penyair
  • Penginapan mewah dan selesa seperti Petang Island Resort, Musang Kenyir Resort dan Kenyir Sanctuary Resort 
  • Empangan
  • Menaiki bot mengelilingi tasik, berkayak, merentas hutan dan ekspedisi pacuan 4 roda
Cara mudah untuk sampai ke Kenyir adalah dengan kereta menuju ke Kuala Berang dan ada banyak papan tanda untuk tiba di Kenyir, jadi usah bimbang.  Jangan lupa bawa peta!
Kalau anda sudah bersedia, jom menjelajah khazanah alam semula jadi di TASIK KENYIR ini!!!
    Read More

    Sunday, June 27, 2010

    Keunikan 14 - Pantai Batu Buruk

    Pantai Batu Buruk yang cantik
    Pantai Batu buruk merupakan di antara pantai yang terkenal di Terengganu. Letaknya yang strategik iaitu hanya 2 km dari pusat bandar Kuala Terengganu menjadikan pantai ini amat popular di kalangan penduduk tempatan juga pelancung luar. Ia lebih dikenali sebagai Taman Rekreasi Batu Buruk atau Taman Awam Batu Buruk. 
     Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di sini. Di antaranya ialah tapak pameran, pentas budaya, taman permainan, gerai makanan, tandas awam, laluan untuk jogging, tempat letak kenderaan dan bangku-bangku taman yang pelbagai bentuk. Terdapat juga hotel, resort, chalet dan homestay untuk kemudahan pengunjung yang memerlukan penginapan terutama pelancung luar dari Terengganu. Saya sering menginap di Batu Buruk Beach Resort, penginapan yang paling dekat dengan pantai ini atau memang terletak betul-betul di pusat pantai ini. Klik di sini untuk melihat panorama pantai yang saya ambil.
    Jika anda berkunjung pada hari jumaat, anda akan berpeluang meninjau pasar malam yang hebat di bandar Kuala Terengganu ini. Terdapat pelbagai barangan dijual dan harganya pun berpatutan. Selain daripada itu, pada hari-hari tertentu di tapak pameran sering diadakan pameran atau expo seperti semalam 26 Jun 2010, terdapat Sambutan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya. Klik untuk melihat gambar yang sempat saya ambil semasa pelancaran kempen dengan acara walkathon.
    Adakah anda tahu bahawa Hospital Nur Zahirah (dulunya dikenali sebagai Hospital Besar Kuala Terengganu) terletak di pantai ini, kalau anda sakit atau perlu ke hospital, anda hanya perlu berjalan kaki sahaja(ambil masa lebih kurang 5 minit). Bersetentangan hospital pula berdiri gagah stadium negeri (stadium tertutup). Pendek kata semua keperluan ada, Masjid Sultan Mahmud al- Muktafi Billah Syah pun dekat saja, stesyen minyak Esso, Shell dan Petronas dan anda juga boleh melihat sebuah sekolah Arab yang bersejarah di Terengganu ini iaitu Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Atas (nak tahu pasal sekolah ini? Don’t worry! Saya akan kenalkan sekolah ini dalam artikel lain). 

     Pantai ini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri kerana di sinilah ditemui Gendang Dong-Son iaitu gendang gangsa yang membuktikan negara kita tidak melalui zaman Mesolitik. Mengikut catatan sejarah, dikatakan Batu Buruk ini suatu ketika dulu adalah sebuah pelabuhan tempat persinggahan pedagang antarabangsa kerana letaknya yang strategik iaitu di laluan Laut China Selatan.
    Apa tunggu lagi! 
    Silalah ke sini, anda tidak akan menyesal!
    Bagaimanakah caranya untuk tiba ke sini??
    1. Bagi anda yang datang dari Kuala Lumpur atau Kuantan, apabila anda tiba di persimpangan lampu isyarat bersebelahan dengan kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, terus saja ambil simpang kanan, anda dah pun berada di Pantai Batu Buruk, mudah saja kan!!
    2. Bagi anda yang datang dari Kota Bharu, sama saja, jalan terus hingga tiba di simpang kediaman Menteri Besar Terengganu juga, tapi jangan pusing kanan atau kiri, terus saja dan anda tibalah ke destinasinya! Sebenarnya apabila anda sudah berada di persimpangan lampu isyarat yang dekat kediaman MB Terengganu tu, anda akan dapat lihat label Taman Awam Batu buruk di hadapan anda!!
    3. Kalau anda sudah berada di terminal bas MBKT, anda boleh ambil bas ke Marang atau Dungun, beca pun boleh juga. Kalau anda nak mengalami sendiri pengalaman fantastik, boleh jalan kaki saja, bukannya jauh sangat pun, tapi pastikan anda sihat!
    Read More

    Friday, June 25, 2010

    KEUNIKAN BAS BANDAR

    Keunikan 13 - Kenali Terengganu



    Bas yang unik ini hanya terdapat di Terengganu.  Reka bentuk fizikal bas yang bercirikan ukiran kayu tradisional istana lama dan beratapkan ‘bumbung rumah ‘ membawa identiti kebudayaan negeri, umpama sebutir permata dari pantai timur, ia menyusuri bandaraya warisan pesisir air ini dengan megahnya.  Untuk menambahkan keanggunannya, dua buah bas berkenaan telah  diberikan nama yang amat bermakna buat Terengganu seperti  ‘Kenyir” dan ‘Redang’(nama dua buah pulau yang indah di Terengganu).  



    Bas yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 ini pada asalnya hanyalah dua buah sahaja tetapi kini telah ditambah dan menjadi enam buah pada Januari 2010.  Ia dibina oleh Sumai Enginerring Sdn Bhd di Chendering, Kuala Terengganu.  Selain daripada sentuhan nilai tradisional , bas ini bukan sahaja cantik di luar tetapi juga amat selesa di dalamnya.  Ia dilengkapi dengan hawa dingin (aircond)dan tempat duduk yang kemas dan unik.  Sesiapa sahaja pasti akan terpukau dengannya!
    Heritage bus atau bas bandar ini beroperasi di Kuala Terengganu dan setiap hari membawa penumpang ke destinasi di sekitar Kuala Terengganu  serta ke tempat pelancongan seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai, Pusat Kraftangan di Chendering, Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam serta beberapa tempat lain.
    Bagi anda yang ingin berkunjung ke Terengganu, jangan lupa untuk menggunakan perkhidmatan bas ini.  Inilah bas yang berkonsepkan 1bas untuk semua, tiada duanya kerana ia hanya ada di sini…..Terengganu Darul Iman.
    Read More

    Tuesday, June 22, 2010

    Negeriku Yang Cantik (Siri 1)

    Keunikan 12..Kenali Terengganu

    TERENGGANU YANG KUKENALI adalah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.  Negeri yang terletak di garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50 mempunyai keluasan 12.955 km. persegi.  Sempadan bahagian utara dan barat lautnya adalah negeri Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya adalah negeri Pahang.  Sila klik untuk melihat peta kedudukan negeri Terengganu.
    Ibu negeri dan Pusat pentadbiran terletak di bandar Kuala Terengganu yang kini telah dinaik taraf ke se buah bandaraya. 
    Terdapat 7 daerah di Terengganu iaitu bandar di-Raja Kuala Terengganu, Marang,  Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Setiu.  Sesuai dengan jolokan namanya Terengganu Darul Iman, negeri ini masih utuh mengekalkan adat budaya Melayu yang selaras dengan perkembangan Islam.  Inilah satu-satunya negeri di Malaysia (pendapat penulis) di mana kita boleh melihat budaya tradisional dalam banyak aspek baik dari segi pakaian, makanan, permainan, pertukangan, senibina bangunan, muzik dan macam-macam lagi. 
    Negeri yang mempunyai keindahan pantai semulajadi sepanjang  225 kilometer dari Utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ) ini  mengadap Laut China Selatan di sebelah timur.
    Terkenal dengan ungkapan’penyu menangis di Rantau Abang’ dan mempunyai lanskap semulajadi yang belum terusik menjadikan Terengganu sebuah destinasi yang sangat menarik untuk bercuti dan bersantai samada berseorangan atau dengan keluarga. Selain memiliki jaluran pantai yang memutih , taman laut dan pulau-pulau yang menawan hati serta kampung nelayan yang unik dan asli, Terengganu juga unggul dalam industri batik tradisional, kraftangan, permainan tradisional dan pelbagai keajaiban permata Laut China Selatan.  Apa lagi!...jadi-jadilah dok tengok gambar tu..…mari sining kelih hok ‘original’ pulok!!
    Read More

    Monday, June 21, 2010

    BUKIT PUTERI (Princess Hill)

    Keunikan 11 Kenali Terengganu

    Bukit Puteri terletak bersebelahan dengan Istana Maziah dan Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu. Ketinggiannya yang lebih kurang 200 meter dari aras laut dan lokasinya yang terletak di muka kuala sungai Terengganu menjadikan ia satu lokasi pelancongan yang amat menarik. Tambahan pula letaknya tidak jauh dari Pasar Besar Kedai Payang (Keunikan 1) dan diapit oleh Istana Maziah dan Bazar Warisan (Keunikan 2 dan 3 Kenali ) menjadikan ia pilihan yang tepat untuk berhenti penat selepas membeli-belah. Walaupun berlaku perubahan pada ‘wajahnya’, Bukit Puteri masih mengekalkan keistimewaan sejarah silamnya yang pernah dijadikan benteng untuk mengawasi musuh yang datang. Bawalah keluarga anda datang bercuti ke sini kerana ianya pasti akan menjadi satu percutian yang menarik dan bermakna. Warga Pesisir Air ini sentiasa menunggu kedatangan anda semua…sudi-sudikanlah meluangkan masa dan bercutilah ke sini……..satu destinasi pelancongan yang tepat!
    Read More

    TELAGA SIMPUL


    Keunikan 10 Kenali Terengganu

    Telaga ini terletak di pantai Marina, Kemaman.  Tempat ini menyimpan cerita yang menarik.  Dikatakan pada masa dulu telaga ini pernah menjadi tempat persinggahan pedagang  yang datang berdagang ke timu.  Dalam perjalanan merekan akan berhenti rehat di telaga ini.  Bagaimanapun terdapat satu lagi kisah tentang telaga ini yang diceritakan oleh orang-orang tua zaman dahulu. Dipercayai kawasan Telaga Simpul ini menjadi tempat tinggal atau ‘rumah” makhluk halus (jin).  Nama telaga ini ’simpul’ dikatakan kerana pada masa dahulu sesiapa yang menggunakan air dari telaga ini hendaklah menyimpul sehelai daun pandan atau daun mengkuang dan meletakkannya di tepi telaga itu bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku.  Setakat mana kebenarannya tiada siapa yang tahu!  Tempat ini dibawah pengawasan Majlis Daerah Kemaman dan terdapat beberapa kemudahan yang disediakan bagi pengunjung.  Tunggu apa lagi……jom kita ke sana!!!!
    Read More

    Saturday, June 19, 2010

    MASJID TERAPUNG

    Keunikan 9 - Kenali Terengganu



    Letaknya  lebih kurang 7 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu.  Masjid ini dibina lebih kurang 19 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1991 dan siap pada pertengahan bulan Januari 1994.  Masjid ini sangat unik dan indah kerana ia dibina di atas air di muara sungai Ibai.  Keadaan ini membolehkan  masjid ini  kelihatan seolah-olah berada di atas air atau ‘terapung’ dan dari situlah ia mendapat jolokan nama yang sangat tersohor iaitu Masjid Terapung.  Keindahannya boleh dilihat  jika kita sendiri berada di sekitar masjid tersebut.   Kedudukannya ‘di atas air’ mewujudkan suasana sejuk, nyaman dan tenang dengan langit yang membiru  serta bayu yang bertiup dari Laut China Selatan.   Asyiknya macam berada diPendek kata, kalau kita hanya membaca dan melihat masjid  ini melalui tulisan atau perkhabaran orang, rasanya sangat tidak bertepatan.   Jom….ke Terengganu dan nikmatilah keunikan, keindahan dan keagungan senibina masjid ini dengan mata  sendiri sendiri! Sekian, terimakasih kerana melayari dan memberi sokongan kepada blog ini!
    Jika anda ingin menyaksikan koleksi foto saya mengenai keindahan masjid ini, anda dialu-alukan.  Mari ah..klik sining!!!
    Read More

    MASJID HILIRAN YANG BERSEJARAH

    Keunikan 8 - Kenali Terengganu!


      
    Tidak ramai orang yang mengetahui tentang masjid ini termasuk penduduk Terengganu kecuali mereka yang tinggal di sekitar mukim Cabang Tiga atau daerah Kuala Terengganu. Masjid ini sangat bermakna bagi saya kerana arwah Tok ki saya pernah menjadi imam di masjid ini. Masjid yang dulunya diperbuat daripada kayu kini telah dibaiki dan ditambah dengan bahan-bahan daripada batu dan simen oleh seorang dermawan. Masjid ini amat unik dan istimewa kerana terdapat sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Masjid yang dianggarkan telah dibina 200 tahun yang lalu, masih lagi utuh dan letaknya yang amat strategik iaitu di tepi jalan Hiliran, iaitu jalan utama menuju ke bandaraya Kuala Terengganu jika melalui mukim Cabang Tiga menjadi tempat persinggahan mereka yang ingin menunaikan solat ketika dalam perjalanan ke bandaraya Kuala Terengganu.  Untuk melihat koleksi foto masjid ini sila klik di sini.
    Kepada sesiapa yang ingin melihat dengan lebih dekat masjid ini bolehlah datang ke sini dengan menaiki teksi atau bas atau berkereta sendiri. Jika anda datang dari Kuantan bolehlah terus melalui Jalan Kamarudin dari persimpangan lampu isyarat Kediaman Menteri Besar Terengganu, teruskan sehingga tiba di persimpangan lampu isyarat Kampung Simpang Tokku, belok ke kanan melalui pondok Polis Cabang Tiga, kemudian akan bertemu dengan persimpangan lampu isyarat Pasar Cabang tiga, terus belok ke kanan lagi dan lebih kurang 500 meter anda akan tiba di masjid tersebut. Bagi anda yang datang dari Kota Bharu, jika anda melalui Jambatan Sultan Mahmud, anda akan tiba di persimpangan lampu isyarat Pusat Dagangan Terengganu(TTC), belok ke kiri sehingga bertemu persimpangan dan terus ke kiri, akan bertemu dengan persimpangan lampu isyarat lagi dan kekiri sehingga akhirnya anda akan dapat melihat masjid ini kira-kira 600 meter di sebelah kanan anda. Sekian, semoga anda dapat menyaksikan sendiri keunikan dan keistimewaan masjid ini. Selamat datang ke Terengganu!

    Ada satu artikel yang saya jumpa tentang masjid ini oleh Wan Ramli Wan Ahmad, terimakasih)
    Read More

    ROTI LIPAT


    Keunikan 6 - Kenali Terengganu!

    Roti lipat ialah sejenis kuih tradisi orang Terengganu yang sangat enak.  Ia terdapat dalam pelbagai jenis.  Kuih ini dikenali juga dengan nama kuih ropa oleh kebanyakan orang tetapi bahagian intinya agak berlainan bahan dan rasa.  Jenis yang saya paparkan di sini adalah jenis yang asal Cuma bahagian intinya diubahsuai sedikit mengikut peredaran masa. Kalau zaman dulu, bahan asas untuk membuat intinya adalah ubi keledek atau ubi setele ikut loghat Terengganu, tetapi sekarang digunakan ubi kentang sementara bahan-bahan lain masih sama iaitu, bawang besar, daging dan rempah ratus (kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga, ketumbar, jintan manis dan beberapa jenis lagi).  Bahan-bahan ini di masak bersama sedikit kicap(untuk warna).  Kuih ini boleh didapati di gerai kuih Gong Kapas dan di pasar-pasar sekitar Kuala Terengganu. 
    Anda tentu menggemarinya kerana ia sukar diperolehi dan rasanya yang cukup enak...kalu dok caye, kene mari ah sining...teganu ning!!!
    Read More

    KUEH TRADISIONAL TERENGGANU PUTU KUNING

    Keunikan 6 - Kenali Terengganu!

    Kuih putu boleh didapati dalam berbagai jenis.  Pada kali ini saya akan menonjolkan kuih putu kuning atau kadang-kadang orang panggil putu halba.  Saya amat menggemari kuih ini namun sekarang ini agak susah hendak mendapatkannya.  Rasanya amat unik,  tak tahu nak cakap macammana, kena cuba sendiri baru boleh tahu keenakannya! Semasa zaman kanak-kanak kuih ini senang diperolehi kerana ada penjual atau penjaja yang menjaja kuih ke kampung-kampung di sekitar Kuala Terengganu.  Saya pernah membelinya di pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu, tetapi sekarng ini sudah tiada.  Kuih ini, kalau di jaga kualitinya mesti boleh masuk pasaran antara bangsa.
    Sekiranya anda ingin mencuba rasanya yang istimewa ini, datanglah ke Terengganu dan saya pasti anda tidak akan kecewa!!!
    Read More

    KUIH TRADISIONAL TERENGGANU NEKBAT

    Keunikan 5 - Kenali Terengganu

    Nekbat amat digemari oleh orang Terengganu terutamanya di kalangan golongan dewasa atau berumur.  Kuih ini agak manis kerana ia disira dengan air gula.  Ia boleh didapati dalam dua jenis iaitu yang diperbuat daripada tepung gandum dan satu lagi diperbuat daripada tepung beras.  Jenis tepung gandum agak lembek apabila disira tetapi yang tepung beras lebih kental dan tidak mudah pecah.  Kebanyakan orang tidak mengetahui yang kuih ini terdapat dalam dua jenis.  Oleh itu, kadang-kadang apabila tidak kena cara menyiranya, kuih ini mudah pecah atau hancur dan tidak sedap dimakan.  Oleh itu, kepada anda yang menggemari kuih ini berhati-hati ketika membelinya.

    Bagi anda yang kurang selesa dengan rasanya yang manis, bolehlah dikurangkan gula ketika menyiranya.  Untuk mengelakkan ia pecah atau hancur, ketika menyiranya kurangkan sukatan air dan jangan lupa pula disira bersama daun pandan untuk mendapatkan rasa dan keharuman pandan yang asli!
    Nota: Kuih ini boleh didapati di gerai kueh Gong Kapas, Pasar Cabang Tiga, Pasar kedai Payang dan banyak dijual diwaktu bulan puasa/Ramadhan! Kalu nok rase mari ah Teganu!!!
    Read More

    Friday, June 18, 2010

    BATU BERSURAT TERENGGANU

    Keunikan 4 - Kenali Terengganu 


    Batu Bersurat Terengganu adalah prasasti tertua dalam tulisan jawi klasik yang ditemui di negeri Terengganu. Dengan penemuan ini , Terengganu menjadi negeri yang paling awal menerima kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu iaitu sebelum tahun 1326 atau 1386. Catatan pada Batu Bersurat ini menunjukkan ia ditulis pada hari Jumaat 22 Februari 1303 Masihi bersamaan 4 Rejab 702 Hijrah (Menurut kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas).
    Batu yang dianggarkan berusia 700 tahun ini telah ditemui berlumpur dan separuh tenggelam selepas banjir surut, di tebing Sungai Tersat, Kampung Buluh Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.
    Penduduk kampung memindahkan batu ini ke tangga surau di kampung tersebut kerana saiznya yang besar dan elok untuk dijadikan alas tempat membasuh kaki sebelum naik ke surau.
    Seorang peniaga dari Riau-Lingga, Saiyed Hussein bin Ghulam al-Bukhari bersama Engku Pangeran Anum yang singgah untuk menunaikan sembahyang di kampung tersebut, menjumpai batu ini ketika beliau membasuh kaki di tangga surau itu.

    Dengan pertolongan penduduk kampung batu ini telah di pindahkan ke atas rakit untuk di bawa ke Kuala Terengganu. Beliau berhasrat untuk mengadap dan mempersembahkan batu tersebut kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu ketika itu iaitu Sultan Zainal Abidin III. Batu yang bersejarah ini kemudiannya ditempatkan di atas Bukit Puteri selama beberapa tahun kerana tiada sesiapa yang memahami tulisan jawi yang tertulis pada batu tersebut.
    Penasihat Inggeris di Terengganu ketika itu, Major H.S Peterson telah menghantar gambar Batu Bersurat ini ke bahagian Kajian Bahasa di Singapura dan London.
    Dengan terjumpanya prasasti ini, Sarjana tempatan dan barat turut bersetuju dengan teori kedatangan Islam ke Alam Melayu adalah dari negara China. Penemuan Batu Bersurat Terengganu merupakan satu bukti yang Islam telah sampai dari arah Timur, dan sarjana bersetuju menyatakan ianya datang dari China, Hainan atau Champa. Ini kerana negara China telah pun menerima Islam lebih awal dari negara lain di Timur kerana pada zaman Kerajaan Islam, utusan telah pun dihantar ke China melalui jalan sutera bagi mengembangkan agama Islam.
    Batu yang beratnya lebih kurang 215 kilogram dan berukuran tinggi 84 sentimeter, bukaan atas 53 sentimeter dan 27 sentimeter bukaan bahagian bawah ini, berasal daripada batu granit yang keras dan tidak mudah pecah ini, mencatatkan nama Raja Mandalika yang telah memerintah dan melaksanakan hukum-hukum Islam. Selain daripada itu dicatatkan juga Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran.
    Prasasti ini yang telah dibawa pulang semula ke Terengganu umpama “Sireh pulang ke Ganggang” Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.
    Batu Bersurat Terengganu menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah kategori "Daftar Memori Antarabangsa" pada tahun 2009.
    Pada hari ini, Batu bersurat ini di tempatkan dan dipamerkan di Museum Negeri Bukit Losong Kuala Terengganu.
    Kepentingan batu bersurat ini tidak dapat dinafikan lagi dan ia menjadi salah satu dari mercu tanda negeri Terengganu dengan replikanya diletakkan ditapak Bulatan Penyu sebagai tanda sejarah kedatangan Islam di Terengganu.  Datanglah beramai-ramai untuk melihat sendiri replika batu ini di bulatan Batu Bersurat dan batu yang asal di Muzeum Negeri Terengganu di Bukit Losong.
    Read More

    Thursday, June 17, 2010

    Kenali Istana Maziah


    Keunikan 3 - Keunikan 3 Kenali Terengganu

    Istana maziah merupakan istana utama untuk menjalankan upacara rasmi Di Raja atau majlis keraian rasmi negeri.  Menurut sejarah, istana ini dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar.  Tedapat sedikit percanggahan mengenai tarikh pembinaannya.  Menurut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10.00 pagi, 31 Mei 1895 (7 Zulhijjah 1312) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918 ). Manakala catatan Dato' Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897. 
    Istana yang dibina mengikut senibina Perancis ini menjadi kebanggaan rakyat Terengganu kerana di sinilah berlaku  kebanyakan catatan  sejarah kegemilangan institusi diraja negeri Terengganu suatu ketika dahulu.  Banyak upacara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri.
    Istana yang tersergam indah di kaki Bukit Puteri ini, telah mengalami banyak perubahan mengikut peredaran masa.  Walaupun begitu ciri-ciri keunikan dan keindahannya tetap terpelihara. 
    Penulis masih ingat ketika zaman kanak-kanak dahulu,  apabila berbagai temasya  seperti permainan rodat Terengganu, Mak Yong, wayang kulit dan lain-lain diadakan di sekitar Padang Maziah berhampiran dengan istana ini untuk menyambut upacara rasmi seperti pertabalan sultan dan sebagainya.  Sungguh meriah dan menyeronokkan kerana pada ketika itu, itulah satu-satunya bentuk hiburan yang ada untuk dinikmati oleh seluruh rakyat negeri Terengganu secara percuma. 
    Sesiapa yang ingin berkunjung ke Istana Maziah ini bolehlah menggunakan Jalan Zultan Zainal Abidin atau Jalan Hiliran.  Istana ini tidak jauh lokasinya daripada Pasar Besar Kedai Payang  dan Bazar Warisan dan pengunjung ke istana ini, boleh berjalan kaki sahaja dari kedua-dua tempat tersebut.  Untuk datang ke Terengganu, anda boleh menggunakan kapal terbang, kereta, bas atau teksi.  Silalah merasai keindahan dan keistimewaan istana ini dengan mata anda sendiri bukan mendengar cerita sahaja!  Anda tidak akan rugi sebaliknya boleh menambah koleksi pengetahuan anda tentang institusi dan sejarah kesultanan Terengganu.    Sekian, terima kasih….jumpa lagi di keunikan 4 Terengganu dihatiku!
    Read More

    Monday, June 14, 2010

    Kenali Bazar Warisan

    Keunikan 2 - Kenali Terengganu!

    Bazar Warisan terletak berhadapan dengan Pasar Besar Kedai Payang Kuala Terengganu.  Bangunan ini telah mula beroperasi pada tahun lepas dengan pelbagai kedai menjual

    Lokasinya yang berhadapan dengan muara Sungai Terengganu  menepati slogan 'Bandaraya Pesisir Air'.  Keunikan senibina bangunan ini terserlah dengan ukiran berunsur tradisional Melayu  dan kombinasi warna yang cantik dan menarik menyerlahkan kehebatannya sebagai salah satu mercu tanda negeri Terengganu.
    Walaupun proses menambahbaik bangunan ini masih belum sempurna namun keindahan dan keistimewaannya tidak dapat dinafikan. 

    Marilah kita sama-sama merasai keistimewaaannya sambil menghayati keindahan dan keunikannya, jom!!


    Read More

    Sunday, June 13, 2010

    Kenali Pasar Besar Kedai Payang

    Keunikan 1 - Kenali Terengganu 
    Pasar Besar Kedai Payang merupakan salah satu tarikan pelancong di negeri ini.  Terdiri dari sebuah  Kompleks Bangunan dua tingkat di tebing sungai Terengganu.  Lokasinya yang strategik di muara sungai ini menjadikan pasar ini sentiasa sibuk sejak dari dahulu hinggalah kini.


    Namanya yang unik.....'Kedai Payang', adalah dikatakan diperolehi daripada nama sejenis perahu  yang sering digunakan oleh nelayan di negeri Terengganu sejak dahulu lagi iaitu perahu payang. 

    Hasil tangkapan ikan oleh nelayan di pasarkan di pasar ini yang kemudiannya terus mendapat nama Pasar Payang atau orang Terengganu sebut Kedai Payang.  Terdapat juga pendapat lain yang menyatakan nama Kedai Payang ini diperolehi daripada nama tempayan yang disebut dalam dialek Terengganu sebagai 'payang'.  Walau apapun namanya diberi, pasar utama di Kuala Terengganu ini tetap unik dan menarik dengan pelbagai jenis barangan yang diniagakan.

    Terdapat barangan basah dan kering yang diniagakan di pasar ini.  Di antaranya seperti pelbagai jenis kain batek, kain sutera,  barangan tembaga dan besi, pakaian siap, kuih-muih, barangan runcit, periuk tanah liat, rempah-ratus, barang kemas dan bermacam-macam lagi....! Pendek kata semua barang ada di sini, hanya menunggu pelanggan sahaja!
    Jom pakat mari Teganu!

    Berhadapan dengan pasar ini berdiri megah Bazar Warisan yang menjadi 'keunikan 2 Kenali Terengganu!
    Read More
    TO ALL VISITORS! THANK YOU! TERIMA KASIH!THANK YOU! TERIMA KASIH! PLEASE, COME AGAIN!!!
    Back to TOP