Gunung Tebu merupakan gunung tertinggi di negeri Terengganu dan merupakan yang ke 37 di Malaysia. Walaupun ketinggiannya cuma 1039 meter atau 3408 kaki namun untuk mencapai kemuncaknya bukanlah sesuatu yang mudah.
Walupun begitu ia tetap menggamit pendaki dari dalam dan luar negara yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar.
Terletak di kawasan pelancongan yang menarik iaitu di Hutan Lipur Lata Belatan, Besut, Terengganu. Gunung ini menjadi suatu destinasi pelancongan yang berbaloi kerana selain daripada dapat mendaki gunung, pengunjung juga boleh melihat keindahan air terjun Lata Belatan yang terkenal.
Pendaki juga akan dapat menyaksikan keunikan hutan yang berlatarkan Laut China Selatan.
Gunung Tebu mempunyai hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Oleh itu pendaki akan dapat menyaksikan sendiri spesis pokok seperti pokok seraya, keruing, meranti, karas, meranti bukit dan damar minyak. Selain daripada kaya dengan spesis pokok berharga ini, gunung tebu juga menyimpan khazanah alam yang lain seperti spesis pokok orkid yang hampir pupus, pelbagai jenis periuk kera dan pokok-pokok bonsai.
Pendek kata, bercerita tentang khazanah alam yang tersimpan di Gunung Tebu ini tidak akan habis dan berkesudahan melainkan anda datang melihatnya sendiri.
Untuk menawan puncak Gunung Tebu ini anda memerlukan masa di antara dua atau tiga hari. Oleh itu pendaki perlu mempunyai kesihatan yang baik selain daripada stamina yang tinggi. Yang paling penting, anda mesti mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Perhutanan dan menjalani pemeriksaan rutin, sebelum memasuki hutan. Di samping itu pendaki juga dikehendaki mengambil pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM5.
INFO PENTING
Ketinggian 1039 meter atau 3408 kaki dari aras laut
Jarak perjalanan hampir tujuh kilometer atau lebih kurang lima jam pendakian
Terletak di daerah Besut, Terengganu (Air Terjun Lata Belatan menyambut kedatangan anda)
Terdapat kaunter Pejabat Hutan tempat pendaki melapor dan mendapatkan pas
Gunung tertinggi di Terengganu dan ke 37 tertinggi di Malaysia
CUTI-CUTI KE TERENGGANU
JANGAN LEPASKAN PELUANG UNTUK MENDAKI GUNUNG TEBU
No comments:
Post a Comment