Keunikan 29 – Kenali Negeriku Yang Cantik
Kembali semula dalam siri 2 tentang Terengganu sebuah negeri yang cantik di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Pada kali ini penulis ingin bercerita tentang sejarah asal usul nama Terengganu.
Mengikut catatan sejarah China menerusi buku-buku seperti ’ Ling-wai-Tai-ta ’ karangan Cao-Cu-Fei tahun 1178, Terengganu disebut sebagai ’ Teng-ya-nu’ dan buku Cu-fan-Cih ’ karangan Cao-Ju-Kua tahun 1226 pula sebagai ’Teng-ya-nung’. Nama-nama ini merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya ( San-fo-Cih ) pada kurun ke 2.
Ptolemy seorang ahli kaji bintang Greek telah mencatatkan (peta) terdapat dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu Perimula dan Kole . Pelabuhan Perimula dipercayai Kuala Sungai Terengganu dan pelabuhan Kole merujuk kepada Kemaman.
Terdapat juga cerita tentang nama Terengganu yang dikaitkan dengan "Terangnya ganu", "Taring anu" dan "Terengan nu"yang melibatkan penduduk luar Terengganu iaitu penduduk Kelantan dan Pahang. "Terengnya ganu" ini dikaitkan pula dengan peristiwa di mana beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala (muara sungai) yang kini dipanggil Kuala Terengganu lalu meeka melihat pelangi dilangit. Mereka pun menyatakan "Teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke negerimeeka, mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya".
Sementara itu "Taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu terjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, diantara mereka dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.
Nama ‘Terengan nu’ pula berkait rapat dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulang-alik menggunakan kedua-dua sungai ini. Jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana, mereka akan jawab sama ada ke "Terengan ni" atau "Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.
Cerita di sini penulis petik daripada:
Dato’ Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang(Misbaha) , et. al. (1992), Sejarah Darul Iman Hingga 1361H (1942M). Kuala Terengganu: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu .
0 comments:
Post a Comment