Keunikan 23 – Kenali Kerepek Malinja atau Belinjau (Gnetum Gnemon)
Kerepek ini adalah snek istimewa yang terdapat di Terengganu. Ia juga dipanggil keropok belinjau atau malinja. Orang Terengganu menyebut kerepek ini dengan sebutan ‘khepek minja’. Ia dibuat daripada buah belinjau atau malinja yang masak. Kebanyakan orang Terengganu menyebut buah malinja sebagai buah cokok. Buah ini ada banyak jenis dan yang dibuat kerepek dari jenis yang saiz buahnya besar sedikit.
Untuk membuat kerepek terlebih dahulu buah malinja yang masak digoreng tanpa minyak di atas api yang sederhana. Gorengan ini dibuat separuh masak sahaja kerana ini akan memudahkan proses meleperkannya untuk dijadikan kepingan nipis. Proses meleperkan buah malinja ini dibuat dengan menggunakan lesung batu atau kayu. Pada hari ini kebanyakan pengusaha kerepek ini menggunakan mesen. Walau bagaimanapun dari segi keaslian kerepek ini, proses meleperkannya adalah dengan menggunakan lesung batu atau lesung kayu. Empingan yang telah siap dijadikan kerepek dan digoreng. Bagi orang Terengganu, kerepek malinja juga boleh di sira dengan air gula dan rasa kepahitan kerepek akan berkurangan.
Sebenarnya keseluruhan pokok malinja atau belinjau ini berguna. Batang pokok boleh dibuat papan sementara daunnya yang muda(pucuk) boleh dibuat ulam atau sayur.

Walaupun rasanya kepahitan tetapi buah malinja ini mempunyai khasiat tertentu seperti vitamin, protein, kalsium dan beberapa zat lain tetapi tidak boleh diambil secara keterlaluan kerana boleh mendatangkan penyakit pula.
Di atas adalah foto pokok malinja atau belinjau yang tumbuh di belakang rumah penulis
Kerepek malinja mempunyai rasa sedikit kepahitan bagi mereka yang kurang menggemarinya. Namun begitu rasa kepahitan itulah menjadikan kerepek ini snek istimewa yang enak dan berkhasiat. Pengunjung ke Terengganu boleh membeli kerepek ini di Pasar Besar kedai Payang.
0 comments:
Post a Comment