Keunikan 19 – Kenali Nasi Dagang Terengganu Asli
Namanya yang unik dan tersendiri menjadikan makanan kegemaran rakyat Terengganu ini terkenal di Malaysia. Mengikut cerita yang penulis dengar dari orang-orang tua, asal namanya dagang adalah kerana pada masa dulu orang Terengganu ni suka berdagang atau berniaga yakni pergi ke tempat lain menjual. Pada masa itu kebanyakan orang apabila keluar dari rumah mesti membawa bekal dan bekalnya mestilah yang mengenyangkan dan mudah dibawa iaitu nasi dan satu lauk sahaja. Lama kelamaan timbullah perkataan ‘dagang’ kerana apabila ditanya untuk apa nasi itu dibuat, akan dijawab, nasi untuk orang berdagang. Kesahihan cerita ini penulis pun tidak pasti. Bagaimanapun ia agak logik juga sebab nasi dagang yang benar-benar asli di Terengganu ini memanglah hanya ada nasi dan lauk sahaja. Lauknya pula mesti ikan aya (ikan tongkol).
Keenakan nasi dagang adalah pada rempah yang digunakan untuk memasak lauknya. Gulai atau kuah nasi dagang yang asli rempahnya mestilah yang baru diproses iaitu dibuat atau digiling sendiri dengan adunan rempah ratus yang betul. Rempah yang digunakan pula mesti terdiri daripada dua jenis yang dinamakan rempah mentah dan rempah masak. Rempah mentah ialah rempah ratus yang direndamkan kedalam air panas supaya lembut atau mudah digiling lumat. Rempah masak pula adalah rempah ratus yang di keringkan dan digoreng kering terlebih dahulu sebelum dikisar atau digiling lumat. Nasi dagang yang asli masukkan buah belimbing buluh ke dalam kuah, tujuannya supaya tidak rasa ‘muak’ atau jemu apabila dimakan dan mesti ada daun pisang ketika mengukus nasinya dan ketika makan. Adunan yang betul akan menghasilkan kuah atau gulai nasi dagang yang sedap.
Walau apa pun terpulanglah kepad individu, orang kata lain orang lain caranya!
Di manakah kita boleh mendapatkan nasi dagang ini?
Kuala Terengganu – Gerai makanan Pantai Batu Burok (Kak Pah Nasi Dagang)
Pasar Cabang Tiga
Kak Jah Nasi Dagang Bukit Besar
Warung Simpang Tok Ku Cabang tiga
Pasar Besar Kedai Payang
Warung dekat Flat Seri Kolam, pusat bandar K. Trg
Marang - Pasar minggu Kampung Kelulut
Dungun - Pasar minggu Kuala Dungun
0 comments:
Post a Comment